Suka bertangguh, tabiat menangguhkan atau menunda suatu kerja atau tugasan sehingga saat-saat akhir, boleh menjadi satu masalah besar dalam kerjaya dan hidup anda. Kesan sampingan sikap ini adalah anda mungkin terlepas sesuatu atau banyak peluang, waktu kerja jadi tidak menentu, tekanan atau stres, rasa kecewa dan bersalah. Tulisan ini akan meneliti punca-punca sikap suka bertangguh dan memberi anda beberapa kaedah praktikal untuk mengatasinya.
Pola perlakuan sikap suka bertangguh boleh tercetus dalam banyak cara, jadi anda tidak akan selalu bertangguh kerana sebab-sebab yang sama. Adakalanya anda bertangguh kerana anda terlalu banyak tugasan yang perlu dilaksanakan, dan penangguhan memberi anda ruang untuk melarikan diri. Adakalanya pula anda bertangguh kerana rasa penat dan malas, dan anda sudah tidak boleh lakukan kerja lagi.
Jadi mari kita lihat pelbagai sebab sikap bertangguh dan cuba mencari jalan yang bijaksana untuk bertindak balas ke atasnya.
1. Stres atau Tekanan
Apabila anda rasa stres, tertekan, runsing, atau risau, adalah memang sukar untuk bekerja dengan produktif. Dalam situasi-situasi tertentu, bertangguh menjadi satu mekanisma untuk mengekalkan tahap stres atau tekanan anda berada dalam kawalan. Penyelesaian yang bijaksana adalah dengan mengurangkan tekanan dalam hidup anda apabila mungkin, agar anda boleh memberi masa bekerja kerana anda mahu, bukan kerana anda terpaksa. Satu daripada cara yang paling mudah untuk mengurangkan stres ialah dengan mengambil lebih sedikit masa untuk bermain.
Dr. Neil Fiore, dalam bukunya The Now Habit mencadangkan memberi masa untuk keseronokan yang dijamin boleh menjadi satu cara yang efektif untuk mengatasi sikap suka bertangguh. Tentukan terlebih dahulu blok masa yang anda akan peruntukkan setiap minggu untuk masa keluarga, hiburan, senaman, aktiviti sosial dan hobi anda. Kemudian jadualkan masa kerja anda menggunakan blok masa yang masih ada. Ini akan mengurangkan rasa untuk bertangguh kerana kerja anda tidak akan menceroboh masa lapang anda, jadi anda tidak perlu untuk menangguhkan kerja demi untuk rehat, relaks dan menikmati hidup. Kerja anda sepatutnya memberi kepuasan dan keseronokan kepada anda, jika anda selalu bertangguh kerana tidak seronok dengan kerja anda, sehingga menjejaskan masa depan anda, mungkin anda pertukaran kerjaya boleh menangani masalah anda, namun berhati-hatilah.
Ilmuwan Islam memberikan cadangan membahagikan hari kita kepada tiga bahagian; iaitu satu pertiga untuk bekerja, satu pertiga untuk beriadah dan rehat dan satu pertiga lagi untuk beribadah. Ini serupa dengan saranan Benjamin Franklin; beliau menasihatkan bahawa strategi optima untuk produktiviti yang tinggi ialah dengan membahagikan hari anda kepada tiga bahagian; satu pertiga untuk bekerja, satu pertiga untuk bermain dan satu pertiga lagi untuk rehat. Berpeganglah bahawa masa kerja dan masa bermain anda adalah sama pentingnya, agar satu tidak menceroboh yang lain. Ini akan menjamin masa lapang anda.
Saya sendiri pun menyedari bahawa diri saya adalah paling produktif dan berkesan apabila saya memberi masa untuk bermain dan beriadah. Ia membantu saya meluahkan tekanan/stres yang berlebihan dan lebih lagi menikmati hidup, dan hasil kerja saya lebih baik apabila saya rasa gembira. Tempat kerja saya juga memberi suasana yang mendamaikan, oleh kerana saya suka berada di situ, saya boleh bekerja sepanjang hari tanpa rasa terlalu tertekan (tekanan memang sentiasa wujud). Anda pun mesti pernah rasa begini bukan?
2. Terlampau Banyak Kerja
Adakalanya anda ada terlampau banyak tugasan atau kerja yang perlu anda selesaikan daripada apa yang anda boleh buat. Ini akan menyebabkan anda rasa terlalu banyak kerja, terlampau banyak sehingga melimpah-limpah, dan yang peliknya anda akan lebih berkemungkinan untuk bertangguh apabila anda rasa sudah tidak mampu melakukannya. Bayangkannya ianya seperti otak anda menolak untuk bekerjasama dengan kerja-kerja anda yang ternanti yang anda tahu memang tidak munasabah. Dalam kes ini, anda perlu berhenti, menilai semula keutamaan-keutamaan anda, dan permudahkan segala tugasan.
Alternatif yang ada untuk mengurangkan jadual yang terlampau padat dan melimpah-limpah seperti ini adalah penghapusan tugasan-tugasan tertentu, delegasi dan bekerjasama. Pertama, lihat semula senarai kerja untuk dibuat dan buang sebanyak mungkin tugasan-tugasan. Buang semuanya yang tidak benar-benar penting. Ini sebenarnya tidak susah, tetapi ramai orang tidak melakukannya dengan baik. Ramai yang membuang perkara-perkara seperti bersenam dan bermain tetapi pada masa yang sama mereka memberi banyak masa untuk menonton TV, walaupun bersenam menyegarkan mereka dan menonton TV mengeringkan tenaga mereka.
Apabila anda membuang tugasan-tugasan tertentu, anda perlu berlaku jujur dengan membuang yang paling tidak berharga atau tidak bermakna terlebih dahulu, dan kekalkan yang memberi anda nilai yang nyata dan berharga. Kedua, lakukan delegasi iaitu perturunkan atau serahkan atau bahagikan tugas-tugas kepada mereka yang lain sebanyak mungkin. Minta lebih bantuan jika anda memerlukannya.
Dan ketiga, bekerjasama dan berbincang dengan mereka yang lain untuk membebaskan lagi masa anda untuk apa yang benar-benar penting. Jika anda mempunyai kerja yang terlampau melimpah-limpah banyaknya daripada apa yang anda rasa boleh terima, terserahlah kepada anda untuk memutuskan sama ada ianya berbaloi untuk terus berada dalam keadaan tersebut. Saya secara peribadinya tidak bertolak ansur dengan kerja yang terus menerus memaksa saya bekerja berlebihan sehingga saya rasa melampau, ianya sudah menjadi tidak produktif untuk kedua-dua majikan dan pekerja.
Anda perlu tahu dan sedar bahawa mereka yang berprestasi tinggi dalam sebarang bidang mengambil banyak masa bercuti dan masa bekerja mereka lebih pendek dari mereka yang kaki kerja. Pekerja prestasi tinggi ini menyiapkan lebih tugasan dalam masa yang lebih singkat dengan mengekalkan diri mereka segar, tenang dan kreatif. Dengan meletakkan masa bekerja anda sebagai satu sumber yang terhad berbanding sebagai hantu yang sentiasa mengejar dan mengacau anda dalam setiap ruang hidup anda, anda akan jadi lebih seimbang, fokus dan efektif.
Daripada kajian-kajian yang telah dilakukan, telah terbukti jumlah masa bekerja optima bagi kebanyakan orang ialah 40 hingga 45 jam seminggu. Bekerja lebih dari masa ini sebenarnya mempunyai kesan buruk terhadap produktiviti dan motivasi dan menyebabkan kurang kerja sebenar yang disiapkan. Ini amat benar terutamanya bagi kerja-kerja alaf teknologi maklumat dan memerlukan kreativiti.
Anda cubalah konsep ini untuk diri anda, untuk mengetahui sama ada ianya berkesan atau tidak. Jangan terima sahaja bulat-bulat apa yang ditulis. Terokailahnya sendiri.
3. Rasa Malas
Kerap kali kita bertangguh kerana kita merasakan kita terlalu penat secara emosinya atau fizikalnya untuk membuat sesuatu kerja. Apabila kita terjatuh ke dalam keadaan ini, ianya senang untuk kita terus begini kerana tiadanya lonjakan atau inertia. Mengikut ilmu fizik, inertia adalah sifat satu jisim untuk mengekalkan gerakannya, jika objek itu bergerak ia akan terus bergerak dan jika ia pegun, ia akan terus mahu mengekalkan kedudukannya. Apabila anda rasa malas, tugas yang mudah pun seakan menjadi kerja yang berat kerana tenaga anda terlalu sedikit berbanding dengan tenaga yang diperlukan oleh tugas itu. Jika anda menyalahkan tugas itu kerana ia terlalu payah atau sukar, anda akan bertangguh untuk menyimpan tenaga anda.
Akan tetapi lebih lama anda berbuat begini, lebih lemah jadi kemahuan anda, dan tabiat bertangguh anda mungkin mula menjadikan diri anda menuju ke arah kemurungan. Berasa lemah dan tidak bersemangat tidak sepatutnya menjadi kebiasaan diri anda, jadi adalah penting untuk menghentikan corak atau pola ini sebaik sahaja anda menyedarinya.
Penyelesaiannya mudah: bangun dan gerakkan tubuh anda. Bersenam membantu meningkatkan tahap tenaga anda. Apabila tenaga anda tinggi, tugas-tugas tampak lebih mudah, dan anda menjadi kurang menolak untuk melakukannya. Seorang yang cergas boleh mengendalikan lebih aktiviti daripada mereka yang tidak cergas, walaupun tahap kesukaran tugas tersebut adalah sama.
Melalui percubaan, anda akan dapati apabila anda makan dan bersenam dengan baik, anda rasa lebih betenaga sepanjang hari. Anda jarang bertangguh kerana rasa malas kerana anda bertenaga dan mempunyai kejelasan mental untuk berhadapan dengan apa sahaja yang datang pada anda. Tugas-tugas rasa lebih mudah untuk disiapkan berbanding dengan semasa tabiat pemakanan dan senaman anda tidak baik. Tugas-tugasnya sama sahaja, tetapi anda yang jadi lebih kuat. Kesan lain yang mungkin anda rasa menakjubkan ialah tidur anda jadi tidak banyak. Enam atau tujuh jam tidur sudah buat anda tidak mampu tidur lagi kerana ia sudah cukup. Anda juga rasa lebih mudah untuk tidur. Itulah yang saya rasa. Sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Anda bersenamlah, memang seronok dan menyegarkan. Tenaga pun bertambah, dan anda jadi lebih rajin.
4. Kurang Motivasi
Kita semua pernah rasa malas (malas sekejap, bukan malas seorang yang pemalas) kadang-kadang, tetapi jika anda rasa amat kurang bersemangat dan tidak boleh melakukan apa-apa, maka mungkin inilah masa untuk anda melepaskan corak berfikir yang tidak matang, menerima kehidupan sebagai seorang dewasa yang matang, dan untuk meneroka matlamat hidup anda yang sebenar. Selagi anda tidak menemui tujuan hidup anda yang memberikan inspirasi, anda tidak akan mencapai potensi diri anda yang sebenar, dan motivasi dan semangat anda akan sentiasa lemah.
Sebagai contohnya seorang doktor atau jururawat, jika beliau memang gemar membantu mereka yang sakit mendapat hidup yang lebih baik, segala kepenatan dan kekangan masa yang beliau hadapi tidak akan melemahkan mereka, sebaliknya mereka akan jadi begitu menikmati kerja itu, kerana ianya memberi mereka kepuasan dan inspirasi buat mereka. Selain ganjaran berbentuk kebendaan, mereka rasa puas memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan dan rasa diri mereka berharga. Begitulah juga dengan ahli bomba, polis, guru, tentera dan apa saja kerja. Andai suatu kerja itu memberi inspirasi dan memenuhi matlamat hidup, peluangnya anda akan terus memajukan diri dalam pekerjaan itu.
Tumpukan kerja anda terhadap apa yang memberi anda matlamat, dan anda akan menjauhkan diri anda dari tabiat suka bertangguh. Anda akan rasa lebih bersemangat dan tidak sabar untuk terus melakukan kerja anda. Mencari matlamat anda adalah cara yang sangat berkuasa untuk mengalahkan tabiat suka bertangguh kerana anda tidak akan bertangguh untuk melakukan perkara yang anda suka lakukan. Jika anda bertangguh kerana tiada motivasi langsung, ianya isyarat besar yang anda mungkin telah memilih jalan yang salah. Carilah matlamat sebenar diri anda, perkara yang anda suka, yang anda akan terus buat dan buat tanpa jemu.
5. Kurang Disiplin
Walau ketika semangat anda sedang tinggi, anda mungkin masih berdepan dengan tugas yang anda tidak mahu lakukan. Dalam situasi ini disiplin diri bertindak sebagai sistem sokongan hidup motivasi. Apabila anda rasa bersemangat, anda tidak memerlukan sangat disiplin, tetapi disiplin diri menjadi berguna apabila anda perlu menyiapkan sesuatu tetapi tidak mahu atau tidak suka kerja tersebut. Jika disiplin diri anda lemah, sebaliknya, menangguhkan kerja itu menjadi sesuatu yang sukar untuk ditolak.
Anda perlu meningkatkan disiplin diri anda. Anda perlu ada peraturan yang perlu anda ikuti agar diri anda sentiasa berdisiplin dalam menjalankan tugas atau menbuat apa saja kerja. Anda perlu ada kemahuan yang tinggi. Sebagaimana seorang atlit yang ingin menjadi juara, atlet tersebut akan terus berlatih hari demi hari membina kekuatan, walaupun keletihan dan rasa malas, atlet tetap terus mengikut peraturan dan disiplin diri untuk terus bertahan untuk membawa dirinya ke satu tahap yang lebih tinggi.
Membina disiplin diri memerlukan latihan. Pengulangan dan pemahaman tentang peri pentingnya tugas tersebut terhadap diri dan orang lain akan membantu anda membina disiplin diri.
6. Tabiat Pengurusan Masa Yang Tidak Baik
Pernahkah anda terasa ketinggalan kerana anda selalu terlajak tidur, kerana anda begitu tidak terurus, atau kerana tugas-tugas tertentu yang tidak terlaksana dan terbiar begitu sahaja? Tabiat-tabiat buruk seperti ini biasanya akan menjurus ke arah sikap bertangguh, biasanya tanpa sengaja.
Penyelesaiannya dalam kes ini ialah untuk mengenalpasti tabiat yang menjejaskan anda dan menggantikannya dengan satu tabiat baru. Contohnya, jika anda bermasalah selalu terlajak tidur, sahutlah cabaran untuk menjadi orang yang bangun awal. Untuk menyahkan tabiat lama anda dan memasukkan yang baru, anda perlukan lakukan tabiat baru menggantikan tabiat lama itu selama sebulan. Pakar menyarankan melakukannya selama 40 hari untuk menjadikannya satu tabiat yang melekat dalam diri.
Untuk tugas yang sudah lama anda tangguhkan (atas pelbagai sebab, contohnya sukar, atau anda tidak suka), anda dicadangkan gunakan kaedah kotak masa sebagai permulaan. Begini caranya: Pertama, pilih sebahagian kecil dari tugas tersebut yang boleh anda kerjakan untuk hanya 30 minit. Kemudian pilih satu ganjaran yang anda akan berikan pada diri anda sejurus sahaja selepas itu. Ganjaran tersebut adalah dijamin dan diberi jika anda lakukannya hanya selama 30 minit; dan ia tidak bergantung kepada setakat mana hasil atau pencapaian kerja itu.
Contoh yang anda boleh beri sebagai ganjaran buat diri anda ialah menonton rancangan TV kegemaran anda, menonton wayang, makan makanan kegemaran, keluar bersama rakan, bersiar-siar, atau apa sahaja yang anda rasa menyeronokkan. Oleh kerana jumlah masa yang anda gunakan untuk bekerja bagi tugasan itu adalah begitu singkat, tumpuan anda akan beralih kepada mahukan ganjaran yang ternanti berbanding dengan kesukaran tugas tersebut. Tidak kira betapa tidak menyeronokkan kerja itu, hampir tiada yang tidak boleh anda tempuhi untuk hanya tempoh 30 minit jika anda ada ganjaran yang cukup besar menanti anda.
Jika anda masukkan tugas anda dalam kotak masa, anda akan dapati sesuatu yang amat menarik berlaku. Anda mungkin mendapati bahawa anda boleh terus bekerja dengan lebih lama dari setengah jam. Anda akan jadi begitu terlibat dan tertumpu dengan suatu tugasan itu, walaupun sukar, sehinggakan anda mahu terus mengerjakannya. Tanpa anda sedari, anda sudah melakukannya sejam atau lebih. Kepastian ganjaran anda masih ada menanti anda dan anda tahu anda boleh menikmatinya bila-bila sahaja anda bersedia berhenti melakukannya. Apabila anda mula bertindak, tumpuan anda beralih daripada risau tentang kesukaran tugasan itu kepada menyudahkan cebisan dari tugasan yang anda ambil tadi, yang kini mendapat tumpuan penuh anda.
Apabila anda sudah membuat keputusan mahu berhenti bekerja, dapatkan dan nikmatilah ganjaran anda. Kemudian jadualkan lagi tempoh 30 minit untuk mengerjakan tugas tersebut dengan satu lagi ganjaran. Ini akan membantu anda menghubungkan lebih dan lebih lagi keseronokan dengan tugasan itu, dengan mengetahui bahawa anda akan sentiasa mendapat segera ganjaran untuk usaha anda. Bekerja untuk ganjaran yang jauh jangka masanya dan tidak pasti tidak memberi semangat sebagai mana ganjaran jangka pendek. Dengan memberi ganjaran kepada diri anda hanya untuk memberi masa untuk mengerjakannya, berbanding kerana sebarang pencapaian khusus, anda akan berasa teruja untuk kembali mengerjakan tugas anda itu lagi dan lagi, sehingga akhirnya anda menyudahkannya.
7. Kurang Kemahiran
Jika anda kurang kemahiran untuk menyiapkan suatu tugas pada tahap kualiti tertentu, anda mungkin bertangguh untuk mengelakkan diri dari mengalami kegagalan. Anda ada tiga pilihan yang mungkin untuk mengatasi masalah ini: belajar, membuat delegasi, atau hapuskan tugas tersebut.
Pertama, anda boleh mendapatkan tahap kemahiran yang diperlukan dengan latihan. Hanya kerana anda tidak boleh buat sesuatu hari tidak bermakna anda tidak akan mampu melakukannya. Suatu hari nanti anda mungkin malah menguasai kemahiran tersebut. Contohnya dalam pembinaan laman web. Anda mungkin tidak tahu apa-apa tentang bahasa HTML, php, javascript dan sebagainya. Tetapi melalui eksperimentasi, lama kelamaan anda akan memahaminya dan mungkin menguasainya. Lama kelamaan anda sudah mampu membina laman web yang berfungsi dengan baik. Teruslah belajar dan tingkatkan kemahiran. Jika anda tidak boleh melakukan sesuatu, jangan mengeluh tentangnya. Ajar diri anda untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran itu sehinggalah anda menjadi cekap.
Pilihan kedua yang ada ialah untuk menurunkan atau menyerahkan tugas-tugas yang anda kurang mahir. Terdapat terlalu banyak kemahiran-kemahiran yang menarik hari ini untuk anda kuasai, jadi hendak atau tidak anda mestilah bergantung kepada bantuan orang lain. Mungkin anda tidak menyedarinya, tetapi anda sudahpun menguasai konsep penyerahan tugas ini. Ada tidak anda tanam sendiri semua makanan anda? Ada tidak anda menjahit sendiri pakaian anda? Ada anda bina rumah anda sendiri? Jawapannya tidak, kita memang bergantung kepada orang lain untuk keterusan hidup kita. Jika anda mahu suatu hasil tetapi tidak mahu mendapatkan sesuatu kemahiran (mungkin kerana anda terlalu sibuk dan tidak cukup masa), anda boleh mengambil orang untuk membantu anda. Contohnya jika anda tidak mahu menghabiskan masa cuba memahami perincian dalam boring cukai pendapatan anda atau syarikat anda, anda boleh dapatkan khidmat seorang akauntan. Ini mengosongkan masa anda dan boleh anda gunakannya untuk perkara lain.
Ketiganya, anda mendapat kesimpulan bahawa suatu hasil tidaklah diperlukan sangat sehinggakan anda terpaksa belajar suatu kemahiran atau membuat delegasi tugas tersebut. Dalam hal ini pilihan yang bijak adalah menghapuskan sahaja tugas itu. Adakalanya bertangguh itu adalah suatu petanda bahawa suatu tugasan itu tidak diperlukan pun.
Sebagai contoh, seorang pelajar memang banyak tugasan dan tutorial yang perlu disiapkan. Adakala tutorial dan tugasan ini penting dan adakalanya ianya tidaklah begitu penting. Anda boleh bezakannya semasa pensyarah anda menyuruh anda membuatnya. Sekiranya beliau menyatakan ia akan dimasukkan ke dalam markah akhir anda, maka anda mesti siapkannya. Andai beliau kata ia menjadi pembantu meningkatkan markah anda, mungkin anda boleh tidak membuat tugasan tersebut, andai anda terlalu sibuk dengan tugasan yang lebih penting. Ini seakan menjadi satu kesibukan yang tidak perlu. Jika kesannya pada PNG anda tidak terlalu besar, anda tidak buat pun tutorial atau kertas kerja tersebut. Tiada siapa pun yang peduli yang anda dapat A- dari A kerana satu kertas kerja yang anda tidak buat. Jika bakal majikan cukup endah untuk bertanya pun, anda boleh gunakan keadaan ini untuk menunjukkan bahawa anda boleh memberi keutamaan. Tetapi jika anda tidak buat kerana anda malas, dan mahu berpoya-poya, anda sendirilah yang tanggung akibatnya.
8. Terlalu Mahukan Kesempurnaan
Satu bentuk biasa kesilapan pemikiran yang membawa kepada sikap suka bertangguh ialah terlalu mahukan kesempurnaan. Percaya bahawa anda perlu membuat sesuatu dengan sempurna adalah satu resepi untuk tekanan, dan anda akan mengaitkan tekanan dengan tugas itu dan ini membuatkan diri anda mengelak dari melakukannya. Maka anda pun tangguhkan dulu tugasan itu sehinggalah ke saat-saat akhir sehingga anda akhirnya mendapat cara yang sesuai untuk melakukan tugas ini. Anda pun buat tugas tersebut tetapi anda sudah tidak cukup masa pula untuk membuatnya dengan sempurna. Anda kemudian melepaskan diri dengan menyatakan pada diri anda bahawa anda boleh melakukan tugas itu dengan sempurna andai anda ada cukup masa. Akan tetapi jika anda tiada tarikh akhir khusus bagi menyiapkan sesuatu tugasan, sikap terlalu mementingkan kesempurnaan boleh menyebabkan anda bertangguh dengan selama lamanya.
Penyelesaian bagi sikap terlalu mahukan kesempurnaan ini adalah dengan mengizinkan diri anda menjadi manusia. Pernahkah anda menggunakan perisian atau peralatan atau komputer yang anda boleh katakan sempurna dari setiap sudut? Saya tidak pernah. Itu mesin, inikan pula kita manusia. Menyedari bahawa suatu tugas atau kerja yang tidak sempurna tetapi siap adalah sentiasa lebih hebat dari kerja sempurna (kononnya) yang ditangguhkan tanpa tahu bila akan siap, boleh membantu anda mengatasi masalah ini.
Sikap terlalu mahukan kesempurnaan ini juga timbul apabila anda menganggap suatu projek atau kerja itu secara keseluruhannya besar. Anda jadi kaku. Anda mahu semuanya berjalan dengan lancar. Cara mengatasinya ialah gantikan projek ‘mesti sempurna’ dalam minda anda ini dengan satu langkah kecil yang tidak begitu sempurna. Anda boleh buat satu lakaran kasar. Anda sentiasa boleh mengubahsuainya kemudian nanti mengikut kehendak dan kesesuaian. Contohnya dalam pembinaan rumah dan sebagainya.
Sebahagian dari penyelesaian-penyelesaian ini adalah sememangnya mencabar untuk dilakukan, tetapi ianya berkesan. Jika anda benar-benar mahu menjinakkan sikap suka bertangguh ini, anda memerlukan sesuatu yang lebih kuat dari sekadar menyertai seminar motivasi. Masalah ini tidak akan pergi dengan sendirinya. Anda perlu berbuat sesuatu.
Kelebihan mengatasi masalah ini ialah ia akan menghasilkan satu pengembangan dan pembinaan diri yang hebat. Anda akan menjadi lebih kuat, berani, lebih berdisiplin, lebih terarah dan lebih fokus. Manfaatnya akan menjadi semakin jelas sepanjang perjalanan hidup anda, jadi ketahuilah cabaran untuk mengatasi sikap suka bertangguh ini adalah satu perkara yang amat baik. Matlamat keseluruhannya ialah agar kita berkembang menjadi orang yang lebih hebat